KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas persiaran maut manakala tiga lagi penumpang cedera selepas kenderaan itu terbabit kemalangan di Jalan Meru, Klang, pada awal pagi Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, bas berkenaan hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan menyebabkan pemandunya tercampak keluar.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang ke lokasi kejadian.

"Difahamkan, bas berkenaan membawa empat penumpang dan seorang pembantu  pemandu dalam perjalanan dari KL Central ke Klang Central.

"Pemandu bas berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiga yang lain mengalami kecederaan manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mukhlis berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

"Kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.